Thursday, January 20, 2011

Cabaran Mendidik Anak 2

Semalam kami suami isteri tersentak. Terkejut melihat aksi Kak Yong yang memegang getah gelang. Disuruhnya kami semua tidur. "Tidur...tidur...semua orang tidur. Kalau tak tidur kak Yong bidah (lastik)," uiks...apakah...mungkin dia hanya meniru pengasuh di nurseri yang menggunakan pendekatan begini untuk memaksa kanak-kanak kecil tidur. Seisi rumah ketawa kelucuan melihat aksi Kak Yong. Namun tidak bagi Ummi. Ummi tidak menganggap ianya lelucon sekali-kali. Terdetik di hati ini..arhh anakku sudah besar..pandai untuk meniru segala.


Melihatkan aksi sebegitu membuatkan umi semakin cuak. ya, betul..kanak-kanak akan explore dunia mereka sendiri. Tapi mereka mencipta dunia mereka bersandarkan apa yang dilihat di mata dan didengar di telinga. Kalau tidak masakan kanak-kanak terpengaruh dengan Ultraman, Shin Chan (sepatutnya kanak-kanak tidak didedahkan dengan kartun sebegini) kerana itu yang mereka lihat dan dengar melalui televisyen. Sebenarnya kitalah sebagai ibu bapa harus menunjukkan atau mewujudkan suasana atau biah yang baik buat mereka. Biarlah mereka membuat acuan dunia mereka sendiri tapi berdasarkan apa yang baik buat mereka.



Kak Yong sendiri tidak terkecuali. Sangat terpengaruh dengan Upin Ipin. Tapi ummi tidak khuatir sebab Upin Ipin banyak mengajar kanak-kanak benda yang baik. Alhamdulillah Kak Yong masih belum lagi mengenali watak Cinderella, Hello Kitty, Minnie Mouse. Tetapi akhir-akhir ini sudah pandai meminta barang-barang Ben 10...Selipar Ben 10, beg Ben 10...Mungkin terpengaruh
dengan rakan-rakan di nurseri. Bagi ummi mungkin tidak mengapa kerana dia masih lagi dalam pencarian. Mencari minat yang sendiri.



Bila melihat KakYong yang begitu terasa di hati ini ingin menukar sahaja Nurseri kedua beradik ini. Teringat ummi bicara ummi dan abi bersama Dr Hafizah..Pentingnya memilih institusi pendidikan awal untuk anak-anak. Mungkin saudara mara dan sahabat handai berbangga memilih Smart Reader untuk anak-anak mereka tapi tidak Ummi. Ummi tidak mahu anak-anak ummi diajar menyanyi dan menari sahaja. Biarlah anak-anak Ummi kenal Allah dahulu sebagai pencipta. Bahasa Inggeris, Maths boleh diajar kemudian. Kanak-kanak ni jiwa mereka bersih dan suci begitu juga akal mereka. Mudah untuk menangkap segala. Insya allah...Biarlah anak-anak orang lain seusia Kak Yong pandai bertutur English tapi ummi tidak kisah. Sampai suatu masa nanti Kak Yong akan pandai juga. Ummi lagi senang hati bila ditanyakan Kak Yong siapa yang jadikan air Milo ni. kak Yong akan menjawab Allah yang jadikan air. Biar Kak Yong faham asas-asas Islam dulu.Biar Kak Yong belajar kenal Allah dahulu.

Semalam sewaktu ummi menjengah ke blog-blog pendidikan anak-anak, ummi terjumpa ini dari blog ini. Mohon dishare ye untuk manfaat bersama.

15 Kesilapan ibu bapa dalam mendidik anak-anak

“Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLA

H ada pahala yang besar.” (Al-Quran Surah At-Taghabun, 64:15)

Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hamba-Nya. Sebagai ujian, ianya akan dipertanggungjawabkan. Orang yang malang ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat. Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda :

“Tahukah engkau siapakah orang yang mandul.” Berkata para sahabat : “Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak.” Lalu Rasulullah SAW berkata : “Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia.”-(Maksud Al-Hadith )

Ini mungkin disebabkan beberapa kesilapan dalam mendidik anak-anak.

1. Kesilapan pertama: Kurang berdoa

1.1 Kurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah

* Saidul (penghulu) Istighfar

* Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3 : 8-9)

* Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3 : 38)

* Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41)

1.2 Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalk

an semasa anak membesar ialah

* Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2 :128)

* Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 :74)

* Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.

2. Kesilapan kedua: Banyak memberi belaian Tarhib

(menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti :

* menakutkan anak-anak dengan sekolah

* menakutkan dengan tempat gelap

* menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau

* menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur

3. Kesilapan ketiga: Tidak tegas dalam mendidik anak-anak

* tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak

* terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.

4. Kesilapan keempat: Menegur anak secara negatif

* mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah).

* membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.

5. Kesilapan kelima: Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual)

* ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani

6. Kesilapan keenam: Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka

Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. :

Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra’ bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra’ : “Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka.” Rasulullah melihat kepada Aqra’ kemudian berkata : “Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.”-(Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Kesilapan ketujuh: Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas

* ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi di hadapan anak-anak.

8. Kesilapan kelapan: Susunan rumahtangga yang tidak kemas.

Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh.

9. Kesilapan kesembilan: Kurang menghidupkan sunnah di rumah seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama, dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi.

10. Kesilapan kesepuluh: Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak.

Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu sunnah.

11. Kesilapan kesebelas: Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang seperti para ulama’ dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia.

Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam.

12. Kesilapan keduabelas: Bertengkar di depan anak-anak

Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibubapanya.

13. Kesilapan ketigabelas: Membenarkan orang yang tidak elok sahsiyahnya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang masih membesar

14. Kesilapan keempatbelas: Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton samada dari TV ataupun video.

Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.

15. Kesilapan kelimabelas: Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak.

Sebagai ibubapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam.


Semoga kita mendapat manfaat . Teringat Ummi akan satu hadis " Setiap anak yang dilahirkan suci bersih. Ibu bapalah yang akan mencorakkan anaknya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”.Semoga kita mampu mendidik anak-anak permata hati kita sebagaimana Rasulullah mendidik putera-puteri baginda.

1 comment:

Unknown said...

Sangat terkesan dengan entri ini. Sesungguhnya cabaran mendidik anak-anak memang tinggi di zaman ini.

Terima kasih atas entri ini...:)