Sunday, September 13, 2015

Catatan buat abah...

Catatan buat abah...

Sudah lama aku tidak pulang ke rumah melawat abah dan ummi lantaran kesibukan menguruskan rumahtangga bila tiba hujung minggu. Sudah lama juga aku tidak menelefon abah dan umi bertanyakan khabar. Satu hari usai mengerjakan solat Asar tatkala aku sedang menadah tangan memohon doa dari Sang Pencipta bayangan abah terlintas di fikiran.Aku panjatkan doa sesungguh hati buat abah dan umi. Hati jadi sebak tetiba bila mengenangkan abah. Air mata mula mengirai di tubir bila otak mula membayangkan hidupku tanpa abah andai abah dijemput pergi. Aku menangis tersedu kenangkan abah. Segala kenanngan dengan abah mula menjelma satu persatu.Air mataku makin menderas. Badanku terhinjut-hinjut menahan tangis sampai mengejutkan sang suami yang sedang di sisi..itulah aku...bila rindu pada abah pada umi bertenggek akan kuhambur air mata..Sang suami diam tanpa kata..cuba untuk memahami mungkin asbab aku menghamburkan air mata tiba-tiba...Rindu...sungguh aku rindu abah dan umi...walau aku tidak betah mengungkapkan kata rindu buat abah dan umi...

Abah...sosok tubuh yang sederhana..riak wajah yang serius..wajah yang bekeng...Garang? memang abah terlalu garang dengan anak-anak..dengar dehemnya sahaja sudah cukup untuk buat kami adik beradik kecut perut..Bunyi motor dari kejauhan pulang dari masjid sesudah Subuh sudah cukup untuk mengejutkan kami dari lena yang panjang..nahaslah kalau ada yang masih belum bangun dari tempat beradu tatkala abah membuka pintu rumah pulang dari masjid...abah tidak perlu berkata sepatahpun...masihku ingat lagi suatu pagi aku lambat bangun...abah membuka pintu bilikku dan aku masih lagi lena di atas katil..tanpa sepatah kata abah membaling sebiji bantal ke arahku...kepuk! bantal yang dibaling terkena kepalaku lantas aku terus bangun dari tempat beradu...Abah jua tidak perlu berleter panjang...jelingan mata abah sudah cukup menggentarkan hati kami adik beradik...selalu abah berpesan waktu Maghrib jangan pasang televisyen...itu waktu Maghrib..kena bersedia untuk solat...tapi kuingat lagi lantaran ralit melihat cerita bersiri Miss Comet yang siarannya habis Maghrib, sanggup kami berpakat untuk 'silentkan' tv...semata takut dimarah abah..namun kami silap..di tengah ralit menonton abah menghampiri lalu memandang kami..semacam terkena renjatan eletrik terus tv kami matikan dan litang pukang berlari masuk ke bilik air takut dirotan abah..

Abah...jarang sungguh untuk melihat abah senyum ketawa dengan kami...tapi abah pandai hiburkan hati kami...abah pandaI berdikir..suara abah sedap sangat...pernah abah bergendang bersama kami..abah suka menyanyi...tambah lagi bila abah mendodoi adik kecil kami yang sedang menangis..abah menyanyi macam lagu..selawat zikir...sungguh merdu suara abah.

Sekali abah meninggi suara memarahi kenakalan kami adik beradik sudah cukup untuk membuat kami diam serta merta..Abah garang sungguh masa mengaji..habis Al quran basah lencun dek air mata kami yang dimarahi abah..Angah suka mengelat semasa mengaji...Kami memandang Al Quran seolah olah pandangan itu tembus ke dalam alQuran..rotan peneman setia abah dikala mengajar kami adik beradik...tapi aku akur..dek kerana rotan itulah kami adik beradik berjaya khatam al quran awal...Abah suka berkongsi cerita Al Quran..bilamana kami sedang mengaji abah akan ceritakan maksud ayat itu..kadang kadang abah lagukan ayat Quran ikut tarannum...sedap sangat suara abah...

Abah cukup prihatin soal sakit anak-anak...pantang abah melihat kudis yang tumbuh di tubuh kami adik beradik..pantas abah mencari ubat untuk disapu...bila anak-anak mula demam.terus dicari ubat cortal...abah akan menunggu sehingga ubat itu berjaya ditelan..jika tidak mahu saja dijerkah abah kalau tidak mahu makan ubat...masih segar lagi di ingatanku sewaktu di tingkatan 3...suatu petang aku demam panas yang sangat...warden menelefon abah dan memberitahu abah untuk membawaku pulang ke rumah...petang itu waktu dirumah aku teringin ke bilik air...dengan kepala yang terlalu sakit aku melangkah perlahan-lahan menuju ke bilik air di bawah..aku jatuh terjelepuk..pandangan mataku berpinar...aku muntah-muntah...aku dipimpin umi menuju ke bilik...di tengah malam abah datang ke bilikku...diletakkan tangannya yang kasar itu ke dahiku..mahu dirasa kuat manakah panasnya...abah membetulkan selimut yang menutupi tubuhku..lalu abah mencium dahiku...terus air mataku mengalir deras.. terharu dengan kasih sayang abah...benda yang sama juga dibuat abah...usai sahaja aku melahirkan anak sulungku Nuha Aneesa...kelahiran yang ditunggu selama 3 hari...aku selamat melahirkan anakku jam 11mlm..namun anakku terpaksa dimasukkan ke nicu kerana kepalanya yang sedikit benjol dek tersekat terlalu lama...aku hilang daya dan terlalu lesu selepas selamat bersalin...masih kuingat setelah aku dimasukkan ke dalam bilik oleh misi...abah masuk ke dalam bilikku dan dia melihat aku yang dalam ketidakupayaan...dia menggosok kepalaku lalu menghadiahkan ciuman di kepalaku...walau masih samar dan keletihan amat air mataku bergenang kerna kutahu abah sayang padaku...

akan disambung....

KISAH SUSU IBU...KASIH IBU YANG TIDAK TERNILAI

Bulan Ogos sinonim dengan bulan penyusuan susu ibu sedunia. Pelbagai acara dibuat untuk menyambut bulan penyusuan ini oleh pelbagai pihak hospital wajibnya dan tidak ketinggalan juga kumpulan sokongan susu ibu. Pihak televisyen dan radio juga tidak berkecuali…dianjurkan pelbagai rancangan tv dengan menemubual beberapa ahli penel yang arif tentang penyusuan.

Tahun ini bulan penyusuan disambut dengan kontroversi DNA. Banyak pihak tampil ke hadapan memberikan pendapat dan pandangan masing-masing…tidak kurang hebat juga cercaan dan tohmahan yang dilemparkan di media sosial. Aku mengambil sikap untuk berdiam diri tidak mahu mengeluarkan sebarang komen kerana diri sendiri pun tidak menyaksikan rakaman tersebut. Ini bukan kali pertama dalam umur hidupku aku mendengar kisah DNA susu lembu ini yang telah menjadi kontroversi seketika.

 Masih kuiingat lagi sewaktu dalam kelas Islamic Criminal Law di tahun kedua pengajian Sarjana Muda Undang-Undang, pensyarahku ketika itu seorang Assoc Profesor berbangsa Arab melemparkan soalan ke dalam kelas kami yang membuatkan telingaku rabak…soalannya diajukan dalam Bahasa Inggeris pelat kenapa banyak kejadian jenayah sekarang ini..merompak..mencuri…bunuh…Bising bilik kuliahku bilamana pelajar sibuk melontarkan idea masing-masing…namun tiada satupun yang betul. Semua salah!!! Jawapannya ialah kerana ramai orang sekarang minum susu lembu…susu lembu yang menjadi darah daging. Cuba kamu perhatikan tabiat lembu…kamu minum susu lembu kamu ikut perangai dia..ikut perangai binatang…tak dengar cakap ibu bapa…Bayi sekarang tidak minum susu ibu…lahir sahaja diberi susu lembu…ZASSSSSS!!!!! Terasa telingaku terbakar dan hatiku bernanah. Mahu sahaja aku lontarkan kemarahanku..ingin sahaja kujerit…Doktor…saya juga minum susu lembu…saya dibesarkan dengan susu lembu tapi saya tidak berperangai seperti itu….Kerana kata-kata keramat itu aku mula menanamkan azam bahawa anak-anakku nanti akan kususukan dengan susu ibu walau bagaimana keadaan sekalipun kerana aku berpegang dengan kata-kata pensyarahku…

Tahun berganti tahun dan aku mula melangkahkan kaki ke alam pekerjaan dan berkahwin dengan pemuda pilihan hatiku sendiri. Aku menyampaikan hasrat kepada suamiku untuk menyusukan zuriat kami dan Alhamdulillah hasratku disambut baik oleh suamiku. Apabila aku mula mengandungkan zuriat kami yang pertama, aku mula mencari info berkaitan susu ibu. Segala majalah, artikel dan website akan kubaca demi memenuhi cita-cita dan impian kami bahawa anak-anak mesti disusukan dengan susu ibu. Melalui pembacaan ku barulah aku mengetahui bezanya susu ibu, susu formula dan susu lembu.

Suamiku juga bersungguh-sungguh mencari info berkenaan susu ibu. Setiap artikel yang dibaca akan disimpan dan akan ditunjukkan kepadaku apabila kami berjumpa di waktu hujung minggu. Ini kerana aku bertugas di Kuala Terengganu dan suamiku bekerja di Kota Bharu. Kami hanya berjumpa setiap hujung minggu. Alhamdulillah syukur punyai suami yang sangat menyokong. Masih kuiingat lagi laman susuibu.com wajib aku layari setiap hari. Kebetulan pula seorang staf di pejabatku baru sahaja lepas cuti bersalin dan dia sememangya menyusukan anaknya dengan susu ibu. Melalui dia aku belajar banyak perkara mengenai susu ibu. Sungguh…aku amat mengagumi dia. Huda…terima ksih atas inspirasi ini..takkan kulupa sepanjang hayatku.

Banyak kisah suka duka yang aku lalui sepanjang menyusukan anak-anakku. Dari seorang hinggalah ke 5 orang sehingga kini. Masing-masing punyai cerita tersendiri.Namun aku bangga dengan diriku kerana akulah ‘provider’ kepada mereka. Apabila membelai setiap helai rambut mereka sentiasa di hati ini syukur ya Allah..rambut ini tumbuh hasil dari susuku. Setiap jari jemari mereka darah daging mereka jua dari susu ku. Alhamdulillah syukur padamu Ya Rabb.

Masih kuingat lagi di minggu-minggu akhir kehamilanku, keluarga mertua memintaku untuk menjaga anakku kerana anakku ini merupakan cucu sulung. Tambah lagi anakku yang bakal lahir adalah cucu perempuan. Aku termenung berfikir panjang kerana aku telah survey nursery untuk aku letakkan anakku nanti. Mereka memujukku dengan macam-macam cerita yang tidak enak perihal nursery. “Percaya ke orang jaga anak tu”…”tak sama datuk nenek dia jaga dengan orang jaga,”. Suamiku juga memujukku supaya meninggalkan anak bersama keluarganya kerana dia takut aku tidak dapat menguruskan anak sendirian di Kuala Terengganu sedangkan dia di Kota Bharu. Marah juga aku ketika itu kerana memang impianku untuk menyusukan anakku. Sekiranya ditinggalkan di kampung, sah la anakku tidak dapat menyusu sepenuhnya. Setelah melalui beberapa siri perbincangan, akhirnya kuakur dengan kehendak suami dan keluarganya untuk bayiku nanti dijaga di kampung dan aku mengambil keputusan untuk BERULANG setiap hari dari Bachok ke Kuala Terengganu. Maka bermulalah episode baru dalam kehidupanku.

Sungguh tidak kunafi banyak rintangan cabaran dan halangan yang terpaksa dilalui demi sebuah cita-cita untuk menyusukan anak sepenuhnya. Minggu pertama selepas kelahiran lagi aku sudah tewas. Walaaupun ilmu penyusuan sudah tersemat dalam kepala namun gagal juga aku. Minggu pertama pantang (pantang di rumah mertua) anakku sudah  diberi formula lantaran susu yang belum keluar banyak. Tatkala aku sudah bersedia untuk menyusu anakku, mertuaku menghulurkan botol susu yang siap dibancuh. Aku memendam rasa yang amat. Hendak ditolak takut mertua kecil hati. Berulang kali aku mengingatkan suamiku bahawa aku ingin menyusukan anakku dengan susu ibu. NO FORMULA. Aku mula mengepam untuk membuat stok susu namun tidak banyak yang boleh dibuat stok kerana peti rumah mertuaku satu pintu. Mana mungkin stok susu bertahan lama. Ini juga dugaan dan cabaran. Suamiku juga bersungguh hati menerangkan kepada ibunya tentang hasratnya untuk anak kami diberi susu ibu sahaja. Aku membiarkan sahaja suamiku memberitahu ibunya. Soalan yang bermain di pemikiran ibu mertuaku ketika itu cukupkah susu untuk anak nanti. Kekadang suamiku juga memberikan beberapa artikel dari majalah kepada ibunya untuk memahamkan tentang penyusuan susu ibu.

Cabaran penyusuanku tidak berhenti di situ sahaja. Malah ianya makin mencabar apabila aku mula bekerja. Bayangkan seawall 4.00 pagi aku sudah bangun bersiap untuk ke tempat kerja. Aktiviti pagi hariku bermula dengan mengepam susu. Kemudian aku bergegas bersiap kerana suamiku akan menghantarku ke tempat menunggu bas di Pasir Tumbuh. Bas bertolak dari Kota Bharu tepat jam 5.00 pagi dan akan sampai di Pasir Tumbuh lebih kurang 5.12 pagi. Bayangkanlah aku meninggalkan anakku tatkala dia masih lena dibuai mimpi. Beginilah rutin harianku setiap hari. Setiap hari mengusung beg pam lengkap dengan pam spektra beserta icepack tanpa gagal. Kadang aku terlewat juga bangun dan terlepas bas. Bas tidak akan menunggu sama sekali. Kadang-kadang sampai ke Setiu suamkiu mengejar bas. Kadang-kadang kupandu sendiri kereta dari Bachok ke Kuala Terengganu.

Sampai sahaja di pejabatku perkara pertama akan dilakukan adalah mengepam susu. Aku ada geng ibu menyusu. Jadual menyusu kami sama di ofis. Jam 10 pagi, jam 1 tengahari dan jam 4.15 petang. Sambil mengepam sambal kami bercerita macam-macam cerita. Cerita perihal anak. Cerita perihal penyusuan susu ibi. Sungguh kami memang obsessed dengan susu ibu.Memang indah momen itu. Terima kasih Huda, Soleha…you were great friends of mine.

Tepat jam 5.00 petang aku sudah terpacak menunggu bas di hadapan JPJ Kuala Terengganu. Masih kuiingat lagi aku selalu disindir oleh penumpang lelaki yang mengusikku kerana hanya aku seorang yang memikul beg besar sedangkan penumpang yang lain hanya dengan tas tangan sahaja. Namun aku dengan bangga akan menjawab “saya membawa bekal untuk anak saya…rezeki untuk anak saya,”. Bila diberitahu bahawa isi beg adalah susu ibu masing-masing melopong hairan. Pernah aku ditanya kenapa begitu gigih kenapa tidak diberi sahaja susu formula. Namun aku hanya memberikan senyuman sahaja ke pada mereka.

Jam 8.30 malam suamiku sudah sedia menunggu ku di Melor. Biasanya aku sampai di rumah sekitar jam 9 malam. Kadang anakku sudah pun tidur. Kalau rezekiku baik, anakku masih belum tidur. Kalau difikirkan sekali terasa sangat sedih kerana setiap pagi aku turun dari rumah ke tempat kerja anakku masih belum bangun dan pulangku di malam hari kadang anakku sudah tidur. Kadang aku rasa menyeesal kerana anakku tidak dapat kulihat perkembangannya setiap hari. Sampai sahaja di rumah, suamiku akan mengambil beg pamku dan dia akan menguruskan segalanya. Dari membasuh peralatan pam sehinggalah membahagikan susu mengikut keperluan anak setiap hari. Malah suamiku jua akan memastikan bahawa bekalan air soya dan kurma tidak pernah putus dalam peti dan dia juga akan memastikan bahwa aku akan meminum soya atau susu tersebut sebelum tidur. Lantaran kepenatan seharian aku selalunya akan tidur awal kerana jadual harianku akan bermula jam 4 pagi.

Aku pernah ditanya suamiku kenapa aku begitu gigih mengepaam susu dengan keadaanku yang penat bekerja dan penat berulang dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu setiap hari dan inilah jawaapanku’ “ abi…kalau saya memberikan susu tin kepada anak kita maka hubungan saya dengan anak kita hanyalah ibu dan anak semata..tiada keterikatan antara saya dan anak dan saya hanyalah ibu pada nama sahaja. Saya awal pagi sudah bangun ke tempat kerja dan anak masih tidur dan pulang malam pun anak sudahpun tidur. Biarlah susu-susu yang saya tinggalkan dalam peti itu yang menghubungkan saya dengan anak saya. Biarlah dengan susu-susu yang diperah itu menjadi keterikatan saya dengan anak saya…walaupun ianya Nampak biasa bagi setengah orang namun ia punyai kesan emosi bagi saya. Susu yang diperah itulah tanda kasih saya sebagai ibu”

Hasrat hati untuk menyusu penuh tidak kesampaian kerana dalam usia 9 bulan aku terpaksa juga mencampurkan formula. Badanku yang keletihan kerana setiap hari aku terpaksa melalui perjalanan panjang menyebabkan susuku merudum. Puas ku ikhtiar membeli supplement dan sebagainya. Namun kutewas jua akhirnya. Walaubagaimanapun aku tetap bersyukur ke hadrat Ilahi kerana aku diberi peluang untuk menyusu anakku selama 9 bulan secara penuh.Namun aku bangga kerana dapat memahamkan ahli keluarga sekelilingku perihal susu ibu malah ibu mertuaku sendiri akan meminta sanak saudaraku yang baru bergelar ibu untuk belajar menyusu denganku...


Inilah cabaran dan dugaanku. Kini dengan lima cahayamata sudah pasti kisah penyusuan susu ibu punyai lima kisah yang berbeza. Akan kuceritakan satu persatu untuk tatapan generasiku suatu hari nanti. Terima kasih Ya Allah.